logo-kiam

Kenapa Ramai Rakyat Malaysia Masih Melakukan Kesilapan Dalam Pelaburan

Satu perkara yang saya perhatikan tentang rakyat Malaysia bila bercakap tentang pelaburan — ramai mahukan hasil terlalu cepat.

Kita hidup dalam budaya di mana ramai orang sering bertanya:
“Berapa cepat boleh untung?”
“Berapa lama boleh gandakan duit?”
“Boleh dapat pendapatan bulanan terus tak?”

Tetapi jarang sekali orang bertanya:

“Bagaimana saya boleh bina kekayaan secara perlahan dalam tempoh 20 tahun?”
Dan secara jujurnya, inilah antara kesilapan terbesar dalam budaya pelaburan rakyat Malaysia hari ini — kurang kesabaran.

Ramai orang melihat pelaburan seperti membeli tiket loteri dan bukannya menanam pokok.
Lucunya, rakyat Malaysia sebenarnya faham konsep sabar dalam kehidupan lain. Kalau seseorang buka restoran hari ini, tiada siapa jangka restoran itu terus berjaya dalam seminggu. Kalau seseorang beli tanah atau mula berniaga, mereka tahu keuntungan mungkin ambil masa
bertahun-tahun.

Tetapi bila masuk bab pelaburan, ramai mahu hasil segera.

Sebab itu skim pelaburan cepat kaya mudah menarik perhatian.
Bila dengar ayat seperti:
“Pulangan dijamin.”
“Pendapatan pasif setiap bulan.”
“Dividen tinggi tanpa risiko.”

Kadang-kadang logik terus koyak (hilang).

Malaysia sendiri sudah menyaksikan banyak skim pelaburan gagal kerana ramai terlalu fokus kepada keuntungan cepat tanpa memahami asas pelaburan sebenar. Ada yang langsung tidak menyemak sama ada pelaburan tersebut dikawal selia atau tidak.

Hakikatnya, pelaburan bukan magik.

Pelaburan sebenarnya tentang masa dan “timing”.

Bukan timing pasaran setiap hari seperti “trader” media sosial, tetapi memahami bila hendak mula, di mana hendak mula dan kemudian memberi masa untuk pelaburan berkembang.
Secara jujurnya, bahagian paling sukar dalam pelaburan bukan memilih produk pelaburan.
Bahagian paling sukar ialah kekal melabur.

Di sinilah dana unit amanah yang undervalued boleh menjadi peluang menarik untuk rakyat Malaysia. Contoh yang baik ialah Amanah Saham Kedah (ASK).

Dana seperti ASK mungkin bukan dana paling popular di pasaran. Ia mungkin tidak trending di media sosial atau dipromosikan secara agresif dengan janji pulangan luar biasa. Kadang-kadang dana seperti ini hanya bergerak secara senyap sementara pelabur sibuk mengejar trend semasa — hari ini AI, esok kripto, minggu depan mungkin emas pula.

Tetapi kadang-kadang pelaburan yang senyap itulah paling bernilai.

Dana undervalued biasanya bermaksud aset di dalam dana tersebut sebenarnya masih mempunyai nilai jangka panjang yang baik tetapi sentimen pasaran belum lagi menilai nilainya dengan betul. Mungkin pasaran keseluruhan masih lemah. Mungkin pelabur terlalu fokus kepada pasaran luar negara. Atau mungkin dana tersebut hanya memerlukan masa untuk matang.
Di sinilah kesabaran menjadi kelebihan.

Jika rakyat Malaysia melabur secara konsisten ke dalam dana undervalued seperti ASK sambil memberi masa kepada pengurus dana dan pasaran untuk berkembang, hasil jangka panjang boleh menjadi sangat bermakna.

Ramai orang memandang rendah kuasa compounding.

Compounding bermaksud duit mula menjana duit tambahan dari semasa ke semasa. Lagi lama kita kekal melabur, lagi besar kesannya.

Di sinilah Rule of 72 menjadi sangat menarik.

Rule of 72 ialah formula mudah untuk menganggarkan berapa lama duit kita boleh berganda.
Jika sesuatu pelaburan memberikan sekitar 6.6% pulangan atau dividen setahun secara konsisten, duit kita berpotensi untuk berganda dalam sekitar 11 tahun.

Ramai rakyat Malaysia fikir untuk gandakan duit perlu ambil risiko besar atau mengejar pelaburan spekulatif. Tetapi pelaburan yang perlahan dan konsisten sebenarnya juga boleh mencapai perkara yang sama dalam jangka panjang.

Sebagai contoh:
• RM50,000 berpotensi menjadi sekitar RM100,000 dalam lebih kurang 11 tahun,
• RM100,000 boleh menjadi RM200,000 selepas itu,
• dan proses itu berterusan jika pelabur terus sabar dan konsisten.

Masalahnya, ramai tidak mampu menunggu lama.

Selepas enam bulan tanpa keuntungan besar, ramai mula gelisah. Mereka mula lompat dari satu pelaburan ke pelaburan lain kerana mengejar “excitement” dan bukannya membina kekayaan sebenar.

Sebab itu pelaburan juga melibatkan psikologi.

Kadang-kadang pasaran lebih menghargai kesabaran daripada kepintaran.

Inilah juga sebab kenapa mula awal lebih penting daripada mula besar.

Seseorang yang melabur RM300 setiap bulan secara konsisten sejak umur 25 tahun mungkin akhirnya mempunyai kekayaan lebih baik daripada seseorang yang melabur jumlah besar tetapi hanya bermula pada umur 40 tahun. Masa memberi ruang kepada compounding untuk bekerja.

Malangnya, ramai rakyat Malaysia suka menangguhkan pelaburan kerana berfikir:
“Nanti gaji besar baru mula.”
“Nanti market crash baru masuk.”
“Nanti ada duit lebih dulu.”

Tetapi realitinya, tiada siapa mampu meneka pasaran dengan tepat secara konsisten.
Masa terbaik untuk mula melabur biasanya ialah apabila kita sudah bersedia dari segi kewangan dan mampu kekal konsisten.

Bukan ketika pasaran sedang hype.

Dana seperti ASK boleh memainkan peranan penting untuk rakyat Malaysia yang mahukan pertumbuhan kekayaan secara stabil dan berperingkat berbanding pelaburan spekulatif. Terutamanya untuk pelabur muda, melabur secara konsisten dalam dana undervalued sambil melabur semula dividen boleh membantu membina kestabilan kewangan jangka panjang.

Sudah tentu, ini tidak bermaksud semua dana undervalued akan terus berjaya. Pelabur tetap perlu memahami strategi dana, kualiti pengurusan, tahap risiko dan keadaan pasaran.

Tetapi pelaburan yang baik selalunya nampak membosankan.

Tiada drama.

Tiada kisah jadi jutawan semalaman.


Tiada tayang kemewahan selepas dua minggu melabur.

Hanya konsisten, sabar dan memberi masa kepada pelaburan untuk matang.

Akhir sekali, membina kekayaan bukan tentang siapa paling laju.

Ia tentang siapa paling berdisiplin dan paling lama mampu bertahan.

With Love

Syafiq Shahabudin
This write-up is purely my personal opinion and sharing based on my own experience and observation. It has nothing to do with the organisation or institution I am attached to.

Related Articles