KAF Investment Funds Berhad (KIFB) telah dilantik sebagai Pengurus Dana Luaran yang bertanggungjawab ke atas pengurusan pelaburan Tabung ASK dan Portfolio. Sebagai Pengurus Dana, mereka bertanggungjawab ke atas pengurusan aset, pemilihan pelaburan dan perlaksanaan keputusan pelaburan. Mereka juga dikehendaki melaporkan secara harian kepada Pengurus mengenai butiran semua transaksi pelaburan bagi membolehkan Pengurus membuat pengiraan Nilai Aset Bersih. Selain daripada itu, KIFB juga dikehendaki menyediakan laporan bulanan untuk dikemukakan kepada Jawatankuasa Pelaburan KIAM.
KIAM telah melantik KIFB sebagai Pengurus Dana Luaran berkuatkuasa 15 Mac 2018. KIFB menguruskan 100% pengurusan pelaburan mengikut terma Perjanjian Pengurusan Pelaburan yang telah ditandatangani.
KIFB adalah pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. KIFB menjadi anak syarikat milik KAF Seagroatt & Campbell Berhad, berkuatkuasa mulai pada 15 April 2013 melalui pengambilalihan kepentingan majoriti dalam Alliance Investment Management Berhad. Alliance Investment Management Berhad kemudiannya dinamakan sebagai KAF Investment Funds Berhad lantaran perubahan pemilikan tersebut.
KIFB telah mengumpulkan lebih daripada 24 tahun pengalaman dalam pengurusan dana dengan pelancaran KAF First Fund pada tahun 1996.
Kini, KIFB mempunyai 18 skim pelaburan kolektif dengan jumlah nilai aset melebihi RM3.6 bilion dalam rangkaian penawarannya yang meliputi pelbagai jenis dana dengan profil risiko yang berlainan. KIFB menawarkan skim pelaburan kolektif, samada dana berbentuk konvensional dan dana patuh Syariah. Di samping wakil jualan KIFB sendiri, dana-dana tersebut turut diedarkan oleh institusi penasihat unit amanah dan ejen-ejen berdaftar dengan KIFB. Melalui agensi ejen-ejen berdaftar yang merupakan salah satu saluran pengedaran alternatif, KIFB dapat memberikan perkhidmatan secara peribadi kepada para pelabur. KIFB turut berkerjasama dengan iFast Capital Sdn Bhd bagi menawarkan dana-dana dibawah pengurusannya secara dalam talian.